Username:    Password:    Remember me  
Kejayaan

Silat Lincah Hari Ini

Hari ini, setelah 43 tahun Silat Lincah di pimpin oleh Mahaguru Haji Omar Din, PSSLM semakin utuh sebagai pertubuhan yang diiktiraf oleh kerajaan dan pihak lain. Kewujudan beberapa organisasi memantapkan lagi pertubuhan ini yang terus dipimpin oleh mereka yang berkaliber serta berwawasan memajukan seni silat tanah air.

PSSLM terus membuka keahlian kepada orang ramai dan selaras pindaan perlembagaan yang baru. Kini mereka berusia 7 tahun ke atas boleh menjadi ahli pertubuhan ini. Keahlian kini terdiri dari pelbagai peringkat sama ada dikalangan orang awam, polis, tentera, pegawai dan kakitangan kerajaan, pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi termasuk dari Sabah dan Sarawak. Pengiktirafan ahli bergantung kepada kelayakan mereka menguasai amalan Silat Lincah sama ada sebagai ahli biasa mahupun jurulatih.

Terdahulu, Perhimpunan dan Penyampaian Ijazah PSSLM 2004 yang dirasmikan oleh YAB. Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia. Lebih membanggakan, inilah kali pertama PSSLM berjaya mengumpulkan lebih dari 15 orang Menteri di peringkat Persekutuan dan Negeri yang sekaligus menunjukkan hubungan masyarakat bersama pemimpin dapat dijalin dengan begitu baik sekali.

Tidak cukup dengan penubuhan PESAKA dan PERSILAT, Tan Sri Datuk Wira Haji Omardin melalui usahanya yang berterusan, pada 4 Februari 2005 telah berjaya menyatukan Seni Beladiri yang ada di Malaysia dibawah Majlis Seni Mempertahankan Diri Negara (MARCIL).

FESTIVAL SENI BELADIRI DUNIA, BANDARAYA CHUNGJU, KOREA SELATAN

Festival Seni Beladiri Dunia merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kerajaan Korea Selatan. Pada tahun 2000, Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia telah dijemput menyertai festival ini. Kejayaan PSSLM mengembangkan Silat Melayu di luar Negara amat membanggakan, satu-satunya silat yang diundang untuk mengambil bahagian di dalam Festival Seni Beladiri Dunia tiap-tiap tahun yang turut disertai oleh 62 jenis Seni Beladiri daripada 32 buah negara dari seluruh dunia, berjaya menjadikan silat sebagai jambatan budaya yang mengenalkan bahasa dan budaya orang melayu kepada dunia luar.

Penyertaan kali pertama membuahkan hasil yang cukup membanggakan rakyat Malaysia seluruhnya apabila PSSLM dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan selepas memenangi kategori persembahan dan pakaian terbaik disamping pemilihan rakyat Chungju City yang mengundi PSSLM sebagai satu pasukan yang mempunyai disiplin terbaik yang mana hadiah tersebut telah disampaikan oleh Datuk Bandar Chungju sendiri.

Pada tahun 2002 , persetujuan dicapai oleh negara-negara yang menyertai festival ini untuk menubuhan Kesatuan Seni Beladiri Dunia atau singkatannya WoMOU. Malah anak melayu juga diberi kepercayaan oleh rakan anggota WoMOU sebagai Naib Presiden di dalam badan seni beladiri dunia itu. Tidak cukup di situ, lebih membanggakan pada tahun 2005 apabila wakil PSSLM, Datuk Haji Megat Zulkarnain Tan Sri Datuk Wira Haji Omardin sekali lagi mendapat mandat dari semua negara anggota WoMOU untuk dikekalkan jawatan Naib Presiden WoMAU. Ini sudah menaikkan nama Malaysia di dunia seni beladiri antarabangsa.




Aktiviti yang di sertai tiap-tiap tahun ini bertujuan mengembangkan Seni Silat Lincah keserata dunia. Setelah diundang 5 tahun berturut-turut, ternyata perkhabaran yang diterima adalah sangat baik kerana World Martial Arts Festival Committee telah mengisytiharkan Malaysia merupakan antara 6 “Rakan Tetap” yang akan dijemput menyertai festival ini selagi ianya diadakan.

SILAT LINCAH KEPUNYAAN RAKYAT

Sejak penubuhannya lagi Silat Lincah telah memikir akan kepentingan mesyarakat terutamanya golongan melayu ketika itu. Bagaimanapun, perubahan keadaan yang menuntut perpaduan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum telah menjadikan Silat Lincah sebagai medium untuk menyatukan perpaduan itu. Malah Silat Lincah telah membuka keahliannya kepada semua lapisan tidak kira bangsa, agama, keturunan dan warna kulit. Inilah kejayaan yang paling besar dicapai oleh pertubuhan ini di dalam membantu kerajaan menyatupadukan golongan berbilang kaum ini. Malah jolokan “Silat Lincah Pencetus Kekuatan Nasional” oleh pimpinan negara disifatkan sebagai satu pengiktirafan yang amat besar sekali sekaligus memacu semangat untuk bersatu.

Sesungguhnya PSSLM amat sedar dan memikir akan kepentingan serta tanggungjawab sosial, kebajikan dan kemasyarakatan kepada rakyat selaras menyokong kempen yang dijalankan oleh kerajaan serta menjadikan Silat Lincah bukan sahaja untuk ahli-ahlinya malah ianya menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat Malaysia.

Hari ini Silat Lincah tampil dengan idea-idea demi menjaga warisan melayu yang unggul ini dan juga pembangunan modal insan seperti yang ditegaskan oleh YAB. Perdana Menteri Malaysia



PENUBUHAN FAKULTI SILAT

ROMBONGAN SILAT LINCAH BERSAMA TYT GABENOR PULAU PINANG SEMASA PEMBENTANGAN KERTAS KERJA FAKULTI PERSILATAN DI USM, PULAU PINANG



Idea oleh Tan Sri Datuk Wira Haji Omardin ini timbul setelah memikirkan kepentingan warisan unggul melayu ini iaitu silat harus di jaga kewarisanannya. Malah ilmu silat hari ini menuntut penyampaian yang lebih baik dan bukan sebagai bahan lisan sahaja untuk dipelajari. Ini sekali gus menjadikan ilmu silat wujud dari aspek akademik yang akan dipelajari di universiti-universiti secara formal dan diiktiraf malah ianya juga akan menjadi pusat rujukan oleh pengkaji-pengkaji silat dari dalam mahupun luar negara. Malah idea ini telahpun sampai ke realitinya.



SILAT LINCAH DAN RAKANCOP

Bagi program ini, Silat Lincah juga mempunyai satu Unit Khas yang telah mendaftar sebagai RakanCop. Unit ini akan bergerak sebagai badan pemantau serta mempastikan kadar dan masalah jenayah serta masalah yang berkaitan dapat dikurangkan.



KEMPEN DERMA DARAH

Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia sedang giat mengadakan kempen derma darah dikalangan ahli PSSLM seluruh Malaysia. Pelancaran kempen ini peringkat kebangsaan pada 4 Mei 2006 di Pulau Pinang telah merebak keseluruh negara dimulai Negeri Selangor, Pahang dan lain-lain negeri seluruh Malaysia.



SILAT LINCAH BENCI DADAH

Sebagai sebuah badan bukan kerajaan, Silat Lincah menawarkan diri dan tampil untuk membantu secara lebih efektif lagi walaupun sebelum ini ianya merupakan aktiviti berterusan pertubuhan ini. Malah lawatan pertama ke Pusat Serenti Bukit Mertajam pada 6 April 2006 telah menguatkan lagi azam Silat Lincah membantu golongan ini pulih sepenuhnya. Lawatan peringkat permulaan yang julung kali diadakan itu antaranya bertujuan untuk berinteraksi dan berbincang dengan pentadbiran dan penghuninya. Lebih membanggakan dalam lawatan tersebut secara rasminya Pusat Serenti Bukit Mertajam, Pulau Pinang mencatat sejarah apabila menjadi pusat pertama membuka gelanggang Silat Lincah.

PSSLM sedar bahawa perlu ada sebuah organisasi berteraskan jatidiri yang kuat khusus aspek kekuatan dalaman untuk membantu golongan seperti ini, maka dengan demikian sudah pasti Silat Lincah merupakan medium terbaik untuk mereka.

PSSLM sedia memberi khidmat kepakaran untuk membimbing penagih dadah di pusat serenti bagi mengelakkan mereka kembali ke tabiat itu melalui modul latihan khas untuk menguatkan lagi aspek jasmani, fizikal dan kerohanian sekaligus meningkatkan keyakinan diri. PSSLM juga berupaya melatih penagih bagi mengembalikan keyakinan dengan meletakkan sasaran mereka tidak menagih semula selepas keluar dari pusat serenti. Oleh yang demikian PSSLM akan menyalurkan modul ini kepada kementerian yang berkaitan dan dalam masa yang sama bersedia pada bila-bila masa untuk membentangkan modul tersebut kepada Yang Amat Dikasihi ketiga-tiga Ulul Amri Silat Lincah.

Sebagai langkah yang berterusan juga, setelah mereka mengikuti modul semasa di dalam pusat serenti, PSSLM juga rela membantu dengan mengambil mereka menyertai Akademi PSSLM apabila keluar dari pusat ini dan berusaha menyerap mereka kembali kepangkuan masyarakat melalui aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan, berusaha mendapatkan pekerjaan dan yang lebih penting untuk mendapatkan kepercayaan masyarakat terhadap golongan ini.

PSSLM akan membantu mereka tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang kerana inilah teras perjuangan Silat Lincah yang mahukan segenap lapisan masyarakat mendapat manfaat yang sebaiknya dari kehebatan ilmu Silat Lincah ini kerana Ahli-Ahli Silat Lincah juga membenci dadah, sekali gus membuktikan bahawa PSSLM berupaya membantu mereka yang terjebak dalam najis berbahaya itu.

Silat Lincah akan terus memberi khidmat dan membantu supaya segala rancangan kerajaan akan berjaya. Usaha ini sebagai merealisasikan hasrat murni PSSLM dan ini amat jelas apabila PSSLM dapat bekerjasama membantu kerajaan memerangi habis-habisan najis dadah dan menawarkan kepakaran memulihkan golongan penagih dengan harapan ianya dapat menjadikan organisasi besar ini berpeluang dan akan mendapat manfaat dalam penyertaan kegiataannya di dalam masyarakat. Silat Lincah amat berharap segala sokongan dan dorongan dapat diberikan kepada PSSLM dalam membentuk semula insan-insan ini agar dapat menemui semula kehidupan terbaik di dunia ini. Atas dasar demikianlah hari ini Silat Lincah telah melancarkan Kempen Silat Lincah Benci Dadah peringkat kebangsaan pada 27 Jun 2006 yang lalu.

Namun apa yang lebih membanggakan, walaupun Silat Lincah menghadapi pahit jerih, kepayahan dan pelbagai rintangan dalam mengembangkan budaya melayu ini namun Tan Sri Datuk Wira Haji Omardin telah berjaya menjadi seorang pemimpin yang dapat mempertahankan sebuah organisasi begitu besar selama 43 tahun tanpa berpecah belah dan hasil daripada itu maka hari ini Silat Lincah merupakan satu seni yang menjadi jambatan budaya kepada Negara luar dan bangsa asing di dalam memperkenalkan budaya utama orang melayu apatah lagi s ejarah turut dicipta dengan menganugerahkan persalinan tertinggi kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas sebagai Ulul Amri I PSSLM. Penganugerahan ini sekali gus menyingkap sejarah lalu bahawa Silat Lincah pernah mendapat perkenan dan sokongan dari Raja-Raja Melayu seperti KDYMM Sultan Pahang, KDYMM Sultan Kedah, KDYMM Sultan Selangor dan KDYMM Sultan Perak.

Sejarah demi sejarah terus dicipta dan tercatit di dalam diari ulung Silat Lincah apabila kejayaan beliau membawa pemimpin-pemimpin Negara iaitu YAB. Dato Seri Haji Abdullah bin Haji Ahmad Badawi sebagai Ulul Amri II dan YAB. Dato Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak sebagai Ulul Amri III.


Mahaguru & Pengasas

Mahaguru

Allahyarham Mahaguru Master Tan Sri Datuk Wira Haji Omardin bin Mauju, dilahirkan pada 29 Mei 1941 di Puchong, Selangor. Tetapi beliau dibesarkan di Kampung Puah, Gombak, Selangor [Lagi]

Mahaguru Muda

Megat

YM. Mahaguru Muda Datuk Wira Hj. Megat Zulkarnain Bin Tan Sri Omardin, dilahirkan pada 16 Oktober 1969 di Selangor [Lagi]


Paduka Guru Muda

 Khairudin Tajudin
Syed Johari

Paduka Guru Muda Panglima Khairuddin Bin Hj. Mustapa, Paduka Guru Muda Dr. Hj. Tajuddin Bin Hj. Mansor, Paduka Guru Muda Syed Mahmud Bin Syed Hj. Daud Dan Paduka Guru Muda Johari Bin Jantan Adalah Merupakan Paduka-Paduka Guru Muda PSSLM Yang Telah Dilantik Oleh YM Mahaguru [ Lagi]

Pendekar



Gelaran Pendekar Ialah Gelaran Istimewa Yang Hanya Akan Dikurniakan Oleh Mahaguru Kepada Pesilat-Pesilat Yang Mempunyai Kebolehan Yang Tinggi Didalam Ilmu Persilatan. [Lagi]