Sektor
Pautan / Link

 

 

 

UPACARA-UPACARA ADAT PSSLM

 

UPACARA PERASMIAN GELANGGANG

 

Perasmian Gelanggang adalah upacara yang menjadi identiti kepada silat lincah di mana upacara ini membawa erti sebagai pengiktirafan secara rasmi menjadi ahli silat lincah dan menjadi anak murid kepada Y.m Mahaguru. Menjelang upacara ini akan diperturunkan amalan yang pertama kepada anak-anak lincah untuk diamalkan. Ahli hanya perlu membayar RM 15.00 untuk upacara kenduri dan RM 3.00 untuk Wang Adat dan Wang Adat tersebut akan di berikan kepada Y.m Mahaguru. Manakala barang-barang yang perlu ada semasa perasmian gelanggang ialah:

 

•  sehelai sejadah

•  4 bekas bara

•  Arang

•  kemenyan 1 pinggan

•  tanah gelanggang 1 pinggan

•  tikar mengkuang segulung

 

 

 

 

UPACARA TAMAT LANGKAH (BERLIMAU)

 

Upacara tamat langkah (berlimau) diwajibkan keatas ahli yang mendapat amalan pertama. Upacara tamat pada kebiasaannya dijalankan selepas Isyak. Upacara tersebut akan dijalankan oleh mahaguru atau wakil yang dilantik dan diizinkan olehnya. Sewaktu menjalani upacara ini ahli-ahli akan diuji dengan pelbagai ujian untuk mengetahui sejauh mana ketahanan serta keupayaan ahli di dalam menerima pelajaran serta amalan lincah di samping menguji kesabaran dan disiplin ahli sewaktu menjalani tempoh pantang larang selama seminggu. Antara pantang larang yang dikenakan ke atas ahli ialah:

 

•  Tidak boleh membunuh binatang

•  Tidak boleh bercukur,memotong rambut,memotong kuku

•  Tidak boleh membuat perkara yang tidak baik

•  Tidak boleh memusnahkan benda-benda hidup dan menceraikannya.

 

Barang-barang adat tamat yang perlu dibawa oleh setiap ahli

  1. Limau nipis 3 biji
  2. Garam jantan 3 ketul
  3. Pinggan putih
  4. Pulut kuning 1 gelanggang
  5. Kemenyan 3 ketul
  6. Kain putih mengikut bilangan ahli iaitu 1 meter setiap seorang
  7. Segenggam beras
  8. Wang Adat sebanyak RM 10.25 sen
  9. Paku berukuran 3 inci sebanyak 3 batang
  10. Wang persiapan upacara sebanyak RM 5.00

    Barang-barang adat satu persalinan untuk jurulatih disediakan oleh gelanggang.

    •  Kain hitam 4 meter

    •  Songkok

    •  Capal sepasang mengikut taraf jurulatih

     

    Barang-barang Persiapan Untuk Upacara Tamat

    •  Senaskah Al-Quran

    •  Rehal

    •  Sejadah

    •  Bekas Bara

    •  Arang

    •  Pasu

    •  Dulang

    •  Pisau yang tajam

    •  Jug air

    •  Cawan bertangkai beserta piring

    •  1 pinggan garam jantan

    •  1 pinggan kemenyan ditumbuk halus

    •  1 pinggan pulut kuning yang telah dibulat kecil – kecil

    •  Tikar mengkuang

    •  Barang ujian senjata secukupnya

 

 

 

 

UPACARA PENYAMPAIAN IJAZAH

Upacara Penyampaian Ijazah adalah satu upacara dimana seseorang ahli akan menerima tauliahan dan pengurniaan mengikut taraf dan keistimewaan beliau. Istiadat tersebut dianggap suatu upacara tahunan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh ahli silat lincah kerana ia adalah perhimpunan bagi ahli-ahli silat lincah. Pada perhimpunan ini segala kebolehan mereka dapat diketahui dari hasil nilaian mahaguru setakat mana kesungguhan dan keistimewaan seseorang itu. Mahagurulah yang bakal menentukan kedudukan mereka setelah menjalani berbagai-bagai ujian untuk menerima tauliahan mengikut peringkat. Bagi seseorang ahli biasa yang dianggap berkelayakan untuk bergelar jurulatih, beliau akan dikurniakan sebarang selendang yang dianggap layak disandang olehnya.Bagi jurulatih pula mereka akan menaiki peringkat yang lebih tinggi mengikut selendang atau bengkung yang disandang. Pada upacara penyampaian ijazah tersebut anugerah-anugerah yang dikurniakan oleh mahaguru ialah selendang hijau, selendang kuning, selendang merah dan bengkung mengikut taraf(hijau,kuning.merah), pakaian makhta, pengurnian keris pusaka kepada yang layak dan selendang kehormat akan diberi kepada seseorang yang telah banyak berjasa dan berkorban khususnya kepada ahli perseorangan, penaung, penasihat, AJK dan ahli pertubuhan ini sendiri.

 

 

 

UPACARA PERTABALAN MAKHTA

 

Upacara ini adalah upacara bagi menabalkan jurulatih yang akan mendapat dan memakai pakaian makhta iaitu pakaian tertinggi di dalam Silat Lincah.Upacara ini terdiri daripada beberapa proses iaitu:-

 

•  Para penerima akan menyucikan diri di air yang mengalir.

•  Kemudian upacara menepung tawar pakaian makhta dan juga si penerima di jalankan.

•  Antara barang-barang yang perlu ada semasa upacara mandi dan menepung tawar ialah:

 

Barang mandi:-

• i. 2 biji limau nipis

• ii. 3 biji garam jantan

• iii. 1 helai kain pelikat (dipakai semasa mandi)

 

Barang-barang Adat:-

• i. Gaharu/ Cendana

• ii. Bertih

• iii. Air Mawar

• iv. Bunga Rampai

• v. Beras Kunyit

• vi. Kulit Limau Purut (dihiris)

• vii. Kapur Barus

• viii. Daun Pandan

 

 

 

 

 

 

 

Laman ini dibangun dan diselenggarakan oleh Bahagian Penerbitan & Multimedia, Jabatan Penerangan, Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia PSSLM @ hakcipta terpelihara 2006
(penerangan )